Saturday, February 12, 2011

kembali murni dalam din-Nya

perbincangan sebentar tadi sedikit sebanyak memangkinkan tindak balas diriku untuk berubah. kembali aku memanjatkan rasa syukur kepada-Nya kerana masih terpaut Islam pada diri ini sungguhpun iman yang terlekat dalam jasad ini hanya sekelumit cuma. kefardhuan solat masih utama, disamping rukun Islam yang lain. dua kalimat syahadat juga masih terucap, sungguhpun diri ini hampir terjunam ke lembah durjana. sememangnya aku yang dahulunya pernah dididik dengan ilmu agama serta hidup dalam iklim dini kini umpama kain yang penuh dengan lumpur yang terpalit, walaupun dicuci namun masih meninggalkan daki yang amat payah untuk ditanggalkan. kehidupan yang tak terurus disini menjadikan aku terlupa akan keredhaan ALLAH serta nikmat syurga, malah terpaut pula pada keseronokan serta nikmat dunia yang penghujungnya hanya yang Maha Pencipta yang tahu. sesungguhnya Dialah Yang Maha Bijaksana serta Maha Mengetahui.

sekali lagi aku bersyukur kerana ditemani rakan-rakan yang sudi membimbing daku kembali ke jalan yang lurus. peribadi mereka sedikit sebanyak menarik aku daripada terus terjerumus kedalam lubang kehinaan. dan aku masih terus bernafas dalam udara yang penuh dengan alunan zikrullah serta mendengar lunaknya suara melagukan Kalamullah dan Sunnahnya.

ingin sahaja aku terus melangkah dengan iman dan taqwa terus memimpin ke JannatunNaim, serta ditemani syafaat Baginda s.a.w., juga sahabat yang berjuang demi menegakkan syariat Islam, dan para solihin yang tidak pernah putus melaksanakan kewajipan terhadap-Nya serta hidup dalam kemanisan Sunnah Rasulullah s.a.w. tetapi aku kembali berfikir, apakah aku masih layak untuk terus berharap sedimikian rupa, malah untuk bersemuka dengan ALLAH sekalipun... apakah masih terbuka pintu taubat-Nya?

ya ALLAH, selamatkanlah aku daripada dusta dan nista dunia, peliharalah aku dalam nur hidayah-Mu, serta bantulah daku agar tidak terus tenggelam dalam lautan penuh kemaksiatan. ya Rabb-ul-Izzati, limpahkanlah aku keampunan-Mu, dan janganlah Kau hinakan daku di akhirat kelak.

اَللّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِاْلاِسْلاَمِ وَاخْتِمْ لَنَا بِاْلاِيْمَانِ وَاخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ، رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

No comments:

Post a Comment